Friday, March 11, 2011

Menantu kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memfailkan permohonan untuk bercerai secara fasakh dan menuntut mutaah bernilai RM100 juta dan RM300 juta sebagai harta sepencarian.

Gambar: Datin Seri Shanaz A.Majid (kiri), menantu kepada Ketua Menteri Sarawak ditemani peguam Dr Mohd Rafie Mohd Shafie selepas memfailkan tuntutan fasakh sebanyak RM100 juta dan RM300 juta sebagai harta sepencarian daripada suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, Rabu. - THE STAR/NORAFIFI EHSAN

Datin Seri Shahnaz A. Majid, 48, memfailkan permohonan tersebut terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib Abdul Taib, 48, pada 22 Februari lalu dan kes disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu.

Pasangan tersebut berkahwin pada 9 Januari 1992 di sini dengan berwalikan bapa pengantin perempuan dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya yang berusia 17 tahun.

Shahnaz yang juga kakak kepada penyanyi popular, Sheila Majid memfailkan permohonan itu atas alasan Mahmud Abu Bekir tidak memberikan nafkah batin sejak tahun 2001 menyebabkan beliau digantung tidak bertali yang telah menyusahkan kehidupan beliau.

Selain itu, beliau juga mendakwa defendan telah menunjukkan perubahan bermula tahun 1994 dan 1999 apabila bertindak agresif seperti menumbuk kepala, menendang rusuk dan suka memaki hamun plaintif dengan menggunakan kata-kata kesat.

Plaintif juga mendakwa, suaminya amat jarang pulang ke rumah sejak tahun 1999, tidak boleh ditegur, sukar dihubungi, gemar bersosial dengan perempuan bukan muhrim serta tidak melayan diri beliau dengan adil selepas bernikah dengan seorang wanita Rusia yang berstatus janda yang mempunyai tiga orang anak.

Pada prosiding itu, peguam syarie Dr Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili plaintif memaklumkan Hakim Syarie Mohd Amirul Adam Ahmad bahawa pihaknya masih belum dapat menyerahkan saman kepada defendan, walaupun percubaan telah dilakukan pada 28 Februari lalu.

“Pihak kami tidak dapat masuk ke rumah defendan yang terletak di Duta Nusantara (di sini), maka kami memohon perintah mahkamah supaya saman berdaftar disampaikan kepada beliau melalui mahkamah,” tambahnya.

Justeru itu, Mohd Amirul Adam Ahmad menetapkan kes tersebut disebut semula pada 24 Mac ini.

Sementara itu, bagi tuntutan mutaah, Shahnaz menuntut RM100 juta yang dipercayai satu jumlah yang munasabah berdasarkan tempoh perkahwinan mereka selama 19 tahun sebulan selain ia juga berpadanan dengan pendapatan defendan.

Dakwanya, defendan merupakan seorang yang sangat berkemampuan dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Syarikat Cahaya Mata Sarawak yang menjalankan pelbagai perniagaan dan pelaburan yang berjumlah berbilion-bilion ringgit.

Sehubungan itu, Shahnaz mendakwa jumlah yang dituntut tersebut adalah demi keadilan untuk beliau memulakan kehidupan baru dan menutup rasa aib serta membolehkan beliau untuk hidup dengan taraf dan status yang pernah dilaluinya.

Selain itu, beliau turut menuntut supaya RM300 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian, iaitu harta-harta termasuk rumah di mereta-rata tempat, tanah beratus-ratus hektar di Sarawak dan tanah di Bukit Tunku, di sini.

Selain itu, mereka juga didakwa mempunyai kereta Mercedez Benz, Lamborghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quartoporte, AUDI, dan Van Alphard serta simpanan-simpanan bank.

Harta tersebut juga melibatkan syarikat-syarikat dan saham-saham seperti Titanium Management Sdn Bhd, Sarawak Cable Berhad, Cahaya Mata Sarawak Berhad, Premium Haven, Log Dak Promotions, Dataran Aras, Celebrity Design dan Bella Magic.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Mohd Rafie memberitahu, permohonan mutaah dan harta sepencarian tersebut telah ditetapkan untuk menjalani rundingan secara sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 15 Mac ini. - Berita ni aku cilok dari Blog ni ha ! (Sori brO aku cilok tanpa izin yek)

No comments: