Tuesday, February 22, 2011

KAKI AZIZULHASNI AWANG DI TUSUK SERPIHAN KAYU

Walau pun kaki kirinya ditusuk serpihan kayu velodrom selepas terjatuh akibat belanggar dengan empat lagi pelumba, Azizulhasni tetap bangkit dan meneruskan perlumbaan untuk meraih pingat gangsa.
Ketika insiden malang itu berlaku, Azizulhasni terjatuh bersama empat lagi pelumba yang lain iaitu Jason Niblett dari Australia, Kamil Kuczynski (Poland), Edward Dawkins (New Zealand) dan Juan Peralta Gascon (Sepanyol) ketika mereka bersaing di selekoh terakhir.
Ternyata semangat kental yang ditunjukkan pelumba berusia 23 tahun ini telah memukau penonton yang hadir bagi menyaksikan acara yang cukup dinanti-nantikan itu yang dimenangi pelumba sensasi Britain, Chris Hoy.
Selepas insiden tersebut, Azizulhasni terus dikejarkan ke Hospital Manchester Royal Infirmary untuk mendapatkan rawatan dan difahamkan, dia akan menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan serpihan kayu kira-kira sepanjang 20 sentimeter itu.
Sebelum berlepas ke Manchester pada Selasa lalu, Azizulhasni berjaya menyumbang dua pingat gangsa pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 di Korat, Thailand.
Dua pingat gangsa tersebut hadir menerusi acara kegemarannya iaitu keirin dan pecut individu.
Azizulhasni yang lebih dikenali dengan gelaran The Pocketrocketman, kini merupakan pelumba No. 1 dalam acara keirin dan sedang memburu tiket untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.
Pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, Azizulhasni berjaya meraih pingat emas dalam acara keirin.
Ekoran daripada kecederaan itu, Azizulhasni tidak akan bersaing dalam acara pecut berpasukan awal pagi tadi (awal pagi Isnin). Tempatnya digantikan oleh Hafiz Sufian. Dua lagi pelumba negara ialah Muhamad Edrus Md Yunos, Josiah Ng.
Azizulhasni juga tidak akan bertanding pada kejohanan dunia di Apeldoorn, Belanda yang akan bermula pada 23 Mac depan.
P/S : Aku tabik spring lah dengan Azizul ni, hanya satu perkataan saja yang boleh aku kata pada beliau, iaitu anda seorang yang HEBAT !!
Aku doakan beliau cepat sembuh dan kecederaan ini tidak akan menjejaskan prestasi beliau. Amin

No comments: