Tuesday, February 22, 2011

CHONG WEI JUARA KE 9 GP KEBANGSAAN




CHONG WEI tidak berdepan masalah untuk menewaskan Mohamad Arif pada final acara perseorangan lelaki.



SEPERTI diramal, pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mudah mendominasi Kejohanan Badminton Sirkit Akhir Kebangsaan 2011 yang berakhir di Terengganu semalam.
Pada perlawanan akhir, Chong Wei menewaskan pemain muda, Mohamad Arif Ab. Latif 21-15, 21-16 untuk muncul juara acara perseorangan lelaki.
Dengan kemenangan tersebut, Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 manakala Mohamad Arif selaku naib juara menerima RM3,200.
Menurut Chong Wei, sepanjang tiga kali beraksi bersama Mohamad Arif pada kejohanan sama, dia mendapati pemain muda negara itu telah mempamerkan banyak peningkatan.
"Jika dia terus bekerja keras meningkatkan gaya permainannya, Arif mampu menjadi seorang pemain yang disegani pada masa akan datang.
"Saya tak boleh komen sama ada dia boleh gantikan tempat Hafiz Hashim tetapi saya tahu dia boleh menjadi lebih bagus jika ada kemahuan ke arah itu.
"Saya juga harap, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) akan memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda menyertai kejohanan yang kompetitif supaya mereka dapat menimba lebih banyak pengalaman," katanya ketika ditemui di Stadium Negeri, Kuala Terengganu semalam.
Sementara itu, Tee Jing Yi terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan ke atas Sonia Cheah 14-21, 21-15, 21-14 pada final perseorangan wanita.
Kemenangan itu membolehkan Jing Yi meraih hadiah wang tunai RM4,000 manakala Sonia berpuas hati dengan RM2,000 selaku naib juara.
Gandingan beregu campuran, Tan Boon Heong/Chin Eei Hui menguasai kategori tersebut selepas menewaskan gandingan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying 13-21, 21-18, 21-16 pada perlawanan akhir.
Mereka membawa pulang hadiah kemenangan RM3,200, manakala naib juara yang menjadi milik Peng Soon/ Liu Ying menerima RM1,600.
Gelaran juara bagi kategori wanita pula menjadi milik Ng Poau Leng/Woon Khe Wei yang berjaya mengatasi pasangan Chong Sook Chin/Goh Liu Ying dengan 21-18, 21-10.
Kemenangan itu membolehkan mereka menerima RM4,800 manakala Sook Chin/Liu Ying yang muncul naib juara meraih RM2,400.
Manakala kategori beregu lelaki pula menjadi milik pasangan Hoon Thien How/Tan Boon Heong.
Beregu pilihan kedua itu terpaksa berhempas pulas dan bermain dalam tiga set sebelum menang 21-14, 10-21, 21-19 ke atas pasangan Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari/Ong Soon Hock pada babak final.Sumber KOSMO!

No comments: